Abang kandung kesayangan aku telah pergi
meninggalkan aku dan keluarga untuk selama-lamanya. Abang kesayangan aku dan
keluarga telah meninggalkan dunia ini dan pergi menghadap ilahi pada jam 7.15 malam
di Hospital Melaka pada 18 Syawal bersamaan hari Khamis pada tahun ini.
Jujur aku mengaku, berat sungguh hati ini untuk
menerima pemergian abang kesayangan ini. Mungkin mudah bagi mereka yang hanya
melihat tanpa merasa bagaimanakah rasanya kehilangan, tapi berat lagi bahu dan
hati kami yang merasa keperitan ini. Hati ini sungguh sayu dan sedih
apabila mengenangkan arwah sudah pergi meninggalkan kami sekeluarga.
Beliau
pergi meninggalkan kami buat selama-lamanya. Pergi tak kembali. Pergi menagih janji Ilahi.
Pergi dalam bulan yang penuh barakah. Telah menjadi ketetapanNYA. Telah menjadi
kehendakkNYA dia pergi meninggalkan kita, meninggalkan dunia yang fana ini. Takdir Allah mengkehendaki. Sampai ke hari ini, aku masih dalam keadaan terpana. Seolah-olah
kepala dipukul oleh gendang yang sangat kuat, dengungannya membuat aku tenggelam dan timbul dalam realiti. Kadang-kadang hati
terasa kuat dan tabah, adakala terasa sangat-sangat lemah.
Demi Allah aku tidak pernah dapat membaca petanda
yang Allah turunkan kepada kami sekeluarga. Aku terlalu ambil mudah dengan
semua perkara. Jujur aku akui,
penyesalan di hati kian bertambah dari hari ke hari. Menyesal hati ini tatkala
terkenangkan selama arwah hidup, aku belum punya kesempatan membalas jasa arwah
sebagai abang yang cukup baik kepada aku dan adik-adik. Walaupun kehidupan
abang sederhana semasa hayatnya, tetapi arwah tidak pernah berkira dengan kami
sekeluarga.
Semasa hayatnya, Abang
seorang yang sangat mesra dan kelakar, abang sangat suka mengusik atau meyakat kami adik beradik. Memandangkan
aku mempunyai tujuh orang adik beradik, dan arwah merupakan anak
yang sulung dalam keluarga dimana arwah adalah abang
sebelum aku. Jujur, kami memang Akrab!
Sangat
perit menanggung rindu buatmu abang. Rindu ini akan aku tanggung
sampai mati. Syukur pada Allah kerana memilih kami untuk diuji sebegini. Tak
sangka, dalam keadaan kami yang sangat lalai dan leka dengan nikmat dunia, solat
hujung-hujung waktu, doa lepas solat pun cuma sekadar di bibir dan tak bersungguh,
rupanya Allah tidak tinggalkan kami.
Terlupa.
Sangat terlupa bahawa dalam keasyikan kami merancang, ada Allah yang Maha Menentukan dan sebaik-baik Perancang. Pemergian abang menyentak hati
kami, terus kami jatuh terduduk ke tanah semula. Barulah
tersedar, selama ini kami langsung lupakan Allah dan akhirat dalam setiap rancangan dan
impian. Terasa cukup dan sempurna dengan nikmat keluarga, sehingga hilang
rasa mengharap dan mahu meminta pada Allah. Sekarang ini, seolah-olah Allah
menempelak kami, ‘Nah, apa pula perancangan kamu sekarang?’
Allah Maha Baik.
Rupanya
selama ini Allah memerhati. Di saat ini, aku cuma mahu meneruskan kehidupan
dengan sebaik-baiknya, walaupun dalam hati ini akan tinggal lompong yang kekal sampai aku mati.
Tak
ada sesuatu pun yang Dia jadikan sia-sia. Bila Allah
ambil abang, hati ini seolah-olah sudah diikat dengan akhirat.
Semoga simpulan itu takkan terlerai lagi sampai kami pula yang pulang kepada Dia. Sekarang
ini, hanya syurga yang kami mahukan. Hanya syurga yang menjadi motivasi hidup
kami di dunia. Sebab hanya di syurga kami dapat bertemu abang semula, dan
hidup kekal bahagia sekeluarga, seperti apa yang kami impikan sebelum ini. Kalau inilah caranya untuk kami sentiasa ingat Allah
dan sedar bahawa bahagia di dunia ini hanya sementara, kami akur dengan kehendak dan
ketentuanNya.
Walaubagaimanapun, aku bersyukur arwah dijemput oleh
Allah dalam bulan yang barakah. Sungguh terharu dan bersyukur kami panjatkan ke
hadrat Ilahi kerana dikurniakan insan-insan yang begitu begitu budiman
pekertinya, yang sanggup bersusah payah menguruskan jenazah arwah semasa di Melaka
walaupun mereka semua hanya bergelar sahabat kepada arwah dan tidak mempunyai
sebarang pertalian darah. Tenang roh arwah disana jika arwah mengetahuinya.
Hanya Allah yang dapat membalas kebaikan anda semua wahai insan-insan
budiman.
Terharu sungguh rasa hati kami sekeluarga kerana
arwah mendapat kenalan-kenalan yang begitu baik dan menyayanginya. Dan
segala urusan semasa pengkebumian arwah berjalan lancar tanpa sebarang masalah
dan halangan. Syukur Alhamdulillah! Kata-kata terakhir yang aku bisikkan pada
sekujur tubuh yang sudah pun dikafankan hanyalah kata-kata yang ingin sekali
aku ucapkan semasa hayatnya tetapi aku hanya mampu luahkan semasa arwah sudah
tiada. Kata-kata yang punya sejuta makna menjadi kosong tanpa secebis
rasa.... Hanya ini yang mampu aku bisikkan dalam esak tangis ketika bibir ini
mengucup dahi jenazah arwah abang.
Ikhlas daripada kami sekeluarga, ribuan terima kasih
aku kirimkan kepada semua saudara-mara, sahabat handai, jiran tetangga serta
semua yang telah hadir dan membantu menyelesaikan urusan pengebumian arwah.
Kami juga ingin memohon maaf bagi pihak arwah andai ada silap dan salah yang
dilakukan sepanjang hayatnya.. Mohon semua dapat memaafkan segala kesalahannya
serta halal kan segala makan minumnya. Doakan moga arwah abang dtempatkan dalam
kalangan orang-orang yang soleh dan beriman. Moga Allah merahmatinya...
Sesungguhnya ini yang sudah tertulis untuk arwah dan arwah tetap di hati
kami walaupun ianya sukar untuk kami sekeluarga. Al-Fatihah untuk arwah. Semoga
arwah tenang di alam sana, kerana aku yakin bahawa Kematian itu bukan
Pengakhiran, kerana setiap yang bernyawa pasti akan dijemput menghadap Allah
yang maha Esa satu ketika nanti.
Untuk
kalian
yang membaca, pinjamkan bahumu walau sesaat, bantu aku kurangkan beban
yang berat ini.
Untuk
arwah, hanya doa dan bacaan ayat suci Al' Quran dapat kukirimkan sebagai peneman
mu di sana. InsyaAllah satu hari nanti kita pasti bertemu jua, Sabar
menanti aku yang mengira waktu ingin bertemu kamu. Kasih sayang aku terhadap
arwah yang berkongsi darah dalam bersaudara akan terus menggunung dan tidak
akan berkurang walau sebesar zarah.
Al fatihah untuk arwah abang RUZAIMAN BIN ABD RAHMAN