21 Januari 2011

ENGKAULAH KEKUATAN


Anakku..
Ibumu kini ditinggalkan sendirian untuk membesarkanmu
Terumbang ambing ibu sementara untuk mencari jalan
Untuk kita mulakan semula kehidupan ini
Terasa sakit untuk harungi semua ini dengan sendiri
Namun semangat dan ketabahan hati
Tetap kuat untuk kehidupan kita

Cahaya mataku
Ibumu tidak meminta apa-apapun
Selain dari mengertikan hati ini
Tidak terlalu degil atau tidak mendengar kata
Ibu mahu kita mulakan hidup ini
Tanpa berpaut pada sesiapa
Ibu mahu mencari rezeki yang halal
Dan membesarkan anak ibu dengan sempurna

Cahaya mata ibu
Ibu tidak tahu mengapa ibu terpilih
Untuk harungi semua ini
Namun percayalah wahai anakku
Tidak pernah terdetik dihati ini
Untuk meninggalkan atau membiarkan
Anak ibu membesar dengan tiada kasih sayang

Anakku sayang
Sesungguhnya kadang sering kedegilanmu bisa
Menghilangkan rasa sabarku
Ibu tidak sanggup untuk merotanmu
Namun untuk sebagai peringatan dan pengajaran
Ibu terpaksa
Demi untuk anak ibu menjadi
Manusia yang sempurna di suatu hari nanti..... insyaallah
Ibu terpaksa tegas dan garang
Maafkan ibu untuk itu

Buah hati ibu
Engkaulah segalanya bagi ibu
Engkaulah kekuatan sanubari ibu
Engkaulah rahmat yang Allah turunkan untuk ibu
Akan ibu perjuangkan hidup ini
Demi membesarkan cahaya mata hati ibu